Kamis, 22 Desember 2011

Permasalahan Umat Islam Masa Kini

ABSTRAK:
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian makhluk, yang telah menjadikan kita sebahagian dari umat Islam di muka bumi ini. Sebagai bentuk dari syukur itu, umat Islam hendaklah tidak berhenti berusaha untuk meraih kembali kejayaaannya.
Didapati terdapat berbagai masalah bagi umat Islam, baik dari zaman silam, hinggalah pada masa sekarang, di zaman yang moden ini. Masalah-masalah itu bukan sahaja datang dari luaran malahan juga dari umat Islam itu sendiri. Jadi, sebagai umat Islam yang perihatin, kita hendaklah segera mengambil langkah kesedaran sebelum terlambat…
PENDAHULUAN

Banyak orang yang bertanya mengenai kebangkitan Islam.Apakah kebangkitan ini akan terus berjalan hingga menuju puncak tujuan yang dicanangkan oleh para pengasasnya atau adakah hanya sekadar melepaskan batuk di tangga?

A) KEBANGKITAN DAN KEKUATAN ISLAM
Halangan-halangan yang menghadang dakwah Islamiah terbahagi kepada dua bahagian iaitu sebahagian berasal dari dalam dan sebahagian lagi berasal dari luar.Halangan itu sebahagiannya berasal dari sistem penguasa atau kekuatan asing yang meresap ke dalam.Sebahagian lagi datang dari para da’i sendiri atau orang yang bergabung dalam dakwah Islamiyah, sama ada disebabkan oleh pemahaman yang salah terhadap Islam mahupun strategi dakwah yang kurang tepat.
Namun begitu, Islam mempunyai potensi untuk menghadapi halangan tersebut.Dakwah Islam adalah dakwah fitrah dan akal, dakwah rabbaniyah, insaniyah dan realiti.
Antara kebangkitan Islam ialah kita dapat lihat perpustakaan Islam yang kaya dengan buku-buku dan hasil penyelidikan tentang pelbagai bidang ilmu.Antaranya, buku tentang aspek ajaran Islam seperti akidah, syariat, ekonomi, mahupun sosial.
Meskipun umat Islam tidak mempunyai organisasi-organisasi dakwah yang teratur rapi seperti mengajak orang lain memeluk Islam seperti yang dilakukan oleh penganut-penganut agama lain, namun banyak orang bikan Islam yang menerima hidayah dan petunjuk dari Ilahi dan memeluk agama Allah ini.
Contohnya Roger Garaudy, merupakan seorang pemikir besar Perancis, telah memeluk Islam selepas menempuh perjalanan yang panjang dan selepas melakukan penelitian dan kritikan terhadap Islam.Namun, akhirnya dia telah membuat keputusan dan kesimpulan bahawa Islam adalah agama yang menghormati akal dan banyak lagi orang yang berpendapat sepertinya.

B) ALLAH TIDAK AKAN MEMBIARKAN UMATNYA TIDUR LENA
Kebangkitan merupakan naluri umat Islam.Jika dakwah mulai lemah maka akan segera datang orang-orang yang menggerakkannya dan membangunkannya. Sesungguhnya Islam tidak akan sekali-kali membiarkan penganutnya tertidur (terleka) seperti tertidurnya Ahlu Khafi ( sekumpulan pemuda yang tertidur selama
bertahun-tahun lamanya di dalam sebuah gua).
Kebangkitan ini merupakan kebangkitan akal, emosi dan perasaan sikap dan perbuatan.Kebangkitan inilah yang menjadikan umat Islam kembali kukuh dalam akidah.Hal ini juga megarahkan umat Islam untuk mengenal dan menerima nilai-nilai berharga yang dibawa oleh Islam yang ‘hanif’.Contohnya melalui buku-buku tentang Islam.

C) KENAPA UMAT ISLAM MAKIN TERKEBELAKANG?
Kenapa umat Islam makin lama makin ketinggalan dan terkebelakang? Ianya terletak pada pemahaman umat yang salah terhadap konsep Islam.Contohnya, Barat memiliki hal-hal yang baik juga hal-hal yang buruk.Namun begitu,kita sering kali mengambil yang buruk dari yang baik.
Mereka menguasai sains dan teknologi, system pengurusan yang hebat tapi kita tidak mengambilnya demi kepentingan kita padahal semua itu bersumber pada agama Islam.Kita lebih cenderung untuk mencontohi amalan riba,hal-hal yang samar dan undang-undang mereka dengan segala kelemahan sehingga lupa bahawa kita juga ada undang-undang Islam yang jauh lebih sempurna, yang lebih menjamin individu dan masyarakat di setiap zaman dan tempat serta lebih terjamin di dunia dan di akhirat.
Kalau kita imbas kembali sejarah umat Islam secara keseluruhannya, kita dapati bahawa Islam dapat membentuk masyarakat yang kukuh dan maju.Pada zaman keemasannya, Islam dapat meluaskan empayarnya hingga ke negara-negara lain. Seperti semasa zaman kegemilangan pemerintahan khalifah Ar-Rasyidin, semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Harun ar-Rasyid dan sebagainya. Jadi bila orang menjauhi syariat Islam, maka wujudlah peperangan dan pepecahan.

D) BAGAIMANA STRATEGI TAJDID PEMUDA ISLAM?
Tajdid bererti memperbaharui sesuatu. Contohnya jika sebuah bangunan usang atau lama ingin diperbaharui dan dibaiki, dengan cara membaiki bahagian-bahagian yang rosak hingga menjadi sempurna semula seperti baru didirikan dan bukannya dengan cara merobohkannya dan dibina pula sebuah bangunan baru diatasnya.
Tajdid Islam bermaksud kita berusaha kembali kepada Islam sepertimana masa awal. Islam harus dikembalikan seperti masa khalifah Ar-Rasyidin, masa para sahabat atau masa kurun-kurun lalu yang baik.
Kita perlu mengembalikan kesucian dan kemurnian akidah, tauhid, ibadah, akhlak dan kekuatan moral Islam, keadilan dan roh tasyri’ Islam. Kita juga memerlukan semula pendidikan iman secara rabbani yang menyebabkan seseorang dapat berhubung dengan Tuhannya. Mengingati mati, ingat hisab, mizan, sirat dan suhuf. Juga ingat pada syurga dan neraka. Takwa pula bukan pada penampilan seperti berjanggut, atau berserban namun, takwa sebenarnya seperti sabda Rasullullah s.a.w. “Takwa itu di sini” sambil menunjuk kearah dadanya sebanyak tiga kali. Jadi maksudnya ialah hati. “Sesungguhnya Allah tidak melihat bentukmu, akan tetapi Dia melihat hatimu.”
Memang banyak umat Islam yang baik-baik, menjalankan tuntutan agamanya, lakukan solat, puasa, menunaikan haji dan bersedekah tetapi tidak membawa sebarang aspirasi Islam dan tidak merasai suka duka yang menimpa umat Islam. Umat Islam berkorban di mana-mana. Kekuatan kafir yang beraneka ragam mendesak umat Islam menyerang mereka di merata tempat. Jadi di mana kedudukan umat Islam?
Kalau orang yahudi bekerja untuk agama mereka dengan mendirikan negara, Nasrani dengan mengadakan misi kristianisasi di mana-mana dengan mengeluarkan dana dalam jumlah yang besar, orang komunis pula dengan ideology mereka, tetapi umat Islam? Apakah sanggup bekerja untuk agamanya?
Jadi kita harus berkerjasama dalam memperkasakan umat Islam baik dari sudut pemahaman, iman, amal, dakwah ataupun jihad.

E) MENYALAH TAFSIRKAN NAS-NAS DAN HUKUM
HALAL DAN HARAM
Masalah lain ialah menyalah tafsirkan nas-nas dan hukum halal dan haram. Contohnya, ada yang mengatakan bahawa makanan haram kalau kita bela dengan baik dan memberi makanan yang berzat, dikatakan hukumnya menjadi boleh. Sebenarnya salah fahaman ini. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah apa yang telah tertulis di dalam Al-Quran.
F) ISLAM MENGHORMATI AKAL, TETAPI?
Ada sekumpulan manusia yang mensasarkan pemikirannya pada akal murni (rasionalisme). Jadi, adakah Islam sependapat dengannya?
Islam berpegang teguh pada akal sebab akal menurut Islam merupakan landasan “naqi” sebagaimana dikemukakan oleh para ulama. Maksudnya, adalah masalah besar dalam Islam, malah dalam agama yang lainpun diputuskan dengan pertimbangan rasional.
Jadi, apakah masalah yang paling besar yang memerlukan akal? Jawabnya, tentulah masalah kewujudan Allah. Ini merupakan masalah yang paling utama yang tidak mungkin diterima kecuali dengan akal. Jika kita ingin meyakinkan seorang penganut lain, jikalau ditanya tentang kewujudan Tuhan, tentu kita tidak dapat menjawabnya dengan dalil naqli atau dengan sabda Rasullullah s.a.w. Jadi, jawapan yang paling tepat adalah dengan menggunakan akal serta hujah-hujah yang dapat diterima oleh makhluk tentang Khaliq, hukum, sebab, akibat dan sebagainya.
Antaranya, kalau bekas kaki unta bererti ada unta, adanya telapak kaki bererti ada pejalan. Bagaimana dengan bumi yang mempunyai penjuru, langit yang mempunyai bintang, serta lautan yang mempunyai gelombang, bukankah itu semua merupakan hukum rasional, sedangkan Al-Quran, dalam situasi ini, berfunsi untuk membangkitkan akal manusia hingga dapat mengenal Tuhannya melalui
ciptaan-ciptaan dan bukti-bukti yang ada dalam alam semesta tentang
kewujudan-Nya.
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta silih bergantinya malam dan siang merupakan tanda (kebesaran) Allah bagi kelompok yang menggunakan akalnya. Apakah mereka tidak melihat langit yang ada di atasnya, bagaimana Kami membangun dan menghiasinya? Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatupun ataukah mereka yang menciptakan diri mereka sendiri?” Al-Quran menyelesaikan masalah ini secara rasional.
Jika masalah kewujudan Tuhan telah diyakinkan dengan akal manusia, maka bagaimana pula dengan masalah kenabian, wahyu, dan risalah? Apakah Tuhan akan membiarkan alam semesta tanpa pemeliharaan atau ia akan memimpinnya dengan memberi pertolongan dan penjagaan? Oleh itu, diutuskan seorang rasul kerana kebijaksanaan-Nya.
Jadi, masalahnya bagaiman hendak dibuktikan bahawa seseorang itu
benar-benar rasul Allah? Hal ini tidak mungkin dapat diketahui kecuali oleh akal melalui bukti-bukti mukjizat yang menunjukkan bahawa seseorang itu ditampilkan atas kehendak Allah dan bukannya atas kehendak individu tersebut.
Nabi adalah “duta” Allah untuk makhluk-Nya. Jika seseorang mengaku dirinya adalah seorang utusan Allah, tentu sekali kita akan meminta bukti-bukti kerasulannya, untuk membuktikan kebenarannya. Jadi seorang rasul haruslah membuktikan kebenarannya, bahawa dirinya adalah benar-benar utusan dari Allah untuk menyampaikan risalah dan ajaran yang benar. Oleh itulah kita harus menanganinya dengan akal.
Keterangan ini jelas menunjukkan bahawa masalah kenabian adalah masalah yang harus ditangani dengan akal. Oleh itulah, dikatakan bahawa naqli didasarkan pada akal, dan kemudiannya dipertegaskan dengan kenabian nabi dan risalah rasul. Maksudnya, akal dianggap sebagai syarat bebanan seseorang dalam masalah syariat agama. Syariat agama dibebankan pada manusia yang mempunyai kriteria “mukallaf” yakni telah mencapai usia baligh dan sihat akalnya, sehinggalah dapat memahami syariat yang dibebankan padanya.
Oleh itu jelas bahawa Islam menekankan aspek itu dan Islam menjadikan akal sebagai alat untuk memahami risalah dan tidak menjadikan agama hanya berdasarkan emosi semata-mata, sebagaimana sering dilemparkan tuduhan oleh penganut-penganut agama lain.
Islam menyatakan: “Katakanlah (Muhammad): Datangkanlah bukti-bukti kamu, jika memang kamu sekalian memang orang-orang yang benar. Katakanlah (Muhammad): Apakah kalian mempunyai (sebahagian dari) ilmu, cuba kamu tunjukkan itu kepada Kami.”
Manusia tidak boleh mengikuti sesuatu tanpa ada bukti. Oleh itu, Allah mengingkari kewujudan orang-orang musyrik dan sebagainya: “Mereka hanya mengukuti prasangka-prasangka, padahal prasangka sama sekali tidak bererti dibandingkan kebenaran. Mereka hanya mengikuti prasangka dan apa yang memuaskan jiwa.”
Al-Quran membangun rasional ilmiah dan menolak emosi dalam bidang kebenaran dan menolak taklid. “Sesungguhnya kami telah mendapatkan hal-hal ini dari nenek moyang kami....”

G) ISLAM AGAMA YANG UNIVERSAL
Ada hal-hal penting yang memerlukan perhatian kita dalam membicarakan kedudukan akal dalam agama. Ternyata, setelah para pemikir asing mengadakan berbagai kajian tentang agama-agama di dunia, mereka tidak menemukan keraguan setelah mendalami Islam. Apakah kenyataan tersebut memberikan penegasan terhadap kita bahawa Islam agama masa depan?
Ada beberapa gejala yang positif kea rah masa depan Islam yang cerah, walaupun kebanyakan orang menganggap bahawa Islam mempunyai masa depan yang suram. Tentu sekali ayat terakhir bertentangan sekali dengan gejala yang jelas dan ayat Al-Quran yang bermaksud:
“Dia-lah yang mengutus utusan (rasul) dengan petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di antara segala agama-agama meskipun
orang-orang musyrik benci.”
(surah as-Saf: ayat 9)
Dan juga dari surah an-Nur,ayat 55 yang bermaksud:

“Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan orang-orang yang beramal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa......”

Peradapan sama sekali tidak dapat menjawab pertanyaan manusia; dari mana, akan ke mana, serta mengapa terjadi. Mereka mengatakan bahawa orang dungu hidup untuk makan, sedangkan orang berakal makan untuk hidup. Tetapi, pertanyaan itu bukan jawapannya. Apakah hidup itu sendiri merupakan tujuan terakhir? Apakah erti hidup? Apakah hidup mempunyai tujuan? Agamalah yang mengajar kita untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan di atas. Tidak ada agama yang dapat memberikan jawapan yang tepat terhadap pertanyaan itu, kecuali Islam. Islam memberikan jawapan yang mencerahkan minda, menerangi hati, menggerakkan manusia dan mengisi kehidupannya. Islam agama yang mengisi kekosongan ideologi, Islam mengajak berdialog serta menghormati akal manusia. Islam agama rasional dan manusia dapat hidup, selamat dengan akal dan ilmu. Manusia meneliti dan memikirkan sesuatu. Menurut pandangan Islam, apapun yang dilakukan dengan akal dan ilmu merupakan ibadah.

Islam agama yang menghormati masalah-masalah dunia. Islam tidak menganggap dunia sebagai barang laknat atau malapetaka. Dunia, menurut pandangan Islam adalah “mazra’atul akhirah” (lading menuju akhirat). Hidup adalah sesuatu kenikmatan yang mesti dinikmati oleh semua manusia dan harus diperjuangkan serta dimakmurkan sesuai dengan tujuan Islam.

Hubungan yang saling melengkapi antara agama dan dunia, roh dan material, serta keduniaan dan keakhiratan, dianjurkan oleh Islam. Kemanusiaan amat memerlukan keseimbangan dan itu hanya akan diperoleh melalui Islam.

H) PEMERINTAHAN ISLAM YANG IDEAL

Pemerintahan Islam mempunyai peranan untuk mewujudkan kehidupan secara Islam, mendirikan kehidupan yang sejahtera. Kehidupan secara Islam yang dimaksudkan di sini adalah kehidupan yang diarahkan oleh syiar Islam, yang dihiasi oleh akhlak-akhlak Islam serta di dalamnya berkembang tradisi Islam dan akhirnya diikat dengan undang-undang Islam dan syariat Islam.

Jadi, pemerintahan Islam berperanan mengemukakan kepada manusia suatu kehidupan yang Islami secara totality, baik dari segi iman, akhlak, ibadah, amal, serta syariat. Dengan demikian, bukan sekadar bentuk pemerintahan dan syariatnya saja yang harus diubah menjadi Islam, malah isinya juga. Dengan syarat-syarat itu dapat dinyatakan bahawa telah dibangunkan sebuah masyarakat yang Islami, umat yang Islami serta kehidupan secara Islami.

Pemerintahan Islam bukanlah pemerintahan yang eksklusif dan tertutup,tetapi merupakan pemerintahan yang selalu membuka pintu untuk seluruh dunia, memberi dan menerima. Pemerintahan Islam memanfaatkan teknologi moden, memanfaatkan teknik pengurusan dunia yang paling canggih, memanfaatkan sains yang ada, akan tetapi harus diadakan penyaringan dan penyelidikan sesuai dengan keperluan. Seharusnya kita tidak memasuki teknologi mengikut hawa nafsu sahaja, tanpa menimbangkannya dulu. Hal ini kerana suatu teknologi kekadang sesuai untuk suatu masyarakat, namun belum tentu sesuai untuk masyarakat yang lain. Jadi, meskipun kita melakukan pengalihan teknologi, namun kita perlu mengadakan penyelidikan, pelaburan serta penyeragaman sehingga sesuai dengan masyarakat kita.

I) NEGARA ISLAM DAN KEBEBASAN BERAGAMA

Pada dasarnya Islam memberi kebebasan berfikir dan berideologi. Berfikir dalam pandangan Islam merupakan suatu keharusan. Ini termasuklah berfikir tentang alam semesta dan seluruh ciptaan-Nya.

Berfikir dan membebaskan diri dari rantai taklid merupakan ajaran Islam. Agama ini memberikan kebebasan pada akal manusia untuk bekerja dan berproduksi seperti yang terjadi dalam peradaban Islam.

Selain itu, melalui firman Allah s.w.t. yang berbunyi:

“Allah akan memburuk-burukkan gagasanmu itu, sesungguhnya Allah mengutus Muhammad sebagai pemberi hidayah dan bukan sebagai pemungut cukai (jabiah). Pemerintahan Islam adalah anugerah dan bukan negara pemungut cukai. Tugasnya bukan mengumpulkan kekayaan dan jasa-jasa rakyat. Rasullullah s.a.w. diutus sebagai pemberi hidayah dan bukan sebagai pemungut cukai.”

Oleh itu, jelas dari ayat di atas menunjukkan bahawa Islam tidak memaksa seseorang, tetapi mengkehendaki mereka masuk Islam dengan pilihannya sendiri. Jika seseorang itu masuk Islam kerana terpaksa, maka keIslamannya tertolak dari sudut akidah.

KESIMPULAN

Oleh itu, berdasarkan perkara-perkara di atas, kita dapat simpulkan bahawa, umat Islam masa kini berada dalam dilema dalam kekusutan dunia. Hari makin hari, kekuatan dalam diri setiap umat Islam terjejas semakin dipengaruhi oleh pengaruh-pengaruh yang boleh merosakkan pegangan akidah dan iman dalam diri. Sekiranya tidak dibendung, maka kemungkinan perpecahan umat Islam akan berlaku dan jika ini terjadi, musnahlah dunia. Ini kerana, manusia sudah tidak mempunyai pedoman lagi. Huru-hara akan berlaku, dan manusia sudah hilang kepercayaan antara satu sama lain. Jadi, sebelum perkara yang tidak diingini ini berlaku, haruslah kita mengambil langkah mengatasinya juga demi kebaikan bersama.

Oleh: Samiya Binti Che Mud


EmoticonEmoticon